ZUNAR

Your First, Your Best, Your Most

Profil

Kartun pertama Zunar disiarkan ketika beliau berusia 12 tahun pada tahun 1974. Dilahirkan dengan nama Zulkiflee Anwarul Haque, beliau tidak pernah mendapat pendidikan formal dalam seni kerana mengambil aliran sains. Apabila gagal di UTM, beliau menjadi pelukis kartun profesional pada tahun 1985 dengan menyertai majalah Gila-Gila. Kemudian beliau menyertai akhbar Berita Harian, dan terakhir portal Malaysiakini sejak 2003 hingga sekarang. Dengan slogan “How Can I be Neutral, Even my Pen Has a Stand”, Zunar membongkar rasuah melalui lakarannya. Beliau telah menerbitkan 19 judul buku – semuanya diharamkan oleh kerajaan terdahulu. Di bawah kerajaan terdahulu juga Zunar pernah ditangkap sebanyak 5 kali dan didakwa dengan 9 tuduhan di bawah Akta Hasutan.

Di luar negara, Zunar telah mendapat berbagai anugerah termasuk “Courage in Editorial Cartooning Award” di Washington dan “Cartooning For Peace Award” di Geneva yang disampaikan oleh Kofi Annan. Beliau juga telah dijemput membuat pameran dan berucap di beberapa uviversiti termasuk UCL London, Oxford, Harvard, University of Louisville, New York University (Florence), University of California Los Angeles dan Curtin University Perth. Zunar juga pernah dijemput berucap di PBB Geneva, dan di program kartunis seperti di Washington, Paris, Bilbao, London, Amsterdam dan Berlin.