PROFESOR DATO’ DR. MOKHTAR SAIDIN

Lawatan Tapak Ekskavasi Runtuhan Bangunan Muzium Lebuh Farquhar

Profil

DATO’ DR. MOKHTAR SAIDIN , Pakar dalam bidang geoarkeologi sejak tahun 1988. Beliau merupakan mantan profesor merangkap pengarah Pusat Penyelidikan Arkeologi Global, USM (2005-2021). Penemuan major geoarkeologi beliau adalah tapak prasejarah tertua di Asia Tenggara iaitu Bukit Bunuh, Lenggong, Perak (berusia lebih 1.83 juta tahun yang lalu) serta tapak tamadun terawal di Asia Tenggara di Kompleks Arkeologi Sungai Batu, Merbok, Kedah (yang berusia 788 Sebelum Masihi). Beliau merupakan ahli seumur hidup Ikatan Ahli Arkeologi Malaysia.

Pada peringkat kebangsaan, beliau merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kebangsaan Warisan Ketara dan Panel Pakar Warisan Bawah Air (2009-2021), Jabatan Warisan Negara. Beliau juga merupakan Ketua Penyunting Makalah  Melayu: Jurnal Antarabangsa Dunia Melayu, DBP (sejak 2020), ahli Lembaga Muzium Kedah (2019-2022), ahli Lembaga Muzium Pulau Pinang (sejak 2019), ahli Lembaga Pengarah Perak Muzium (sejak 2024) serta Ketua Penasihat Arkeologi Pulau Pinang (sejak 2019).

Pada peringkat global, beliau adalah Naib Presiden International Union of the Prehistoric and Protohistoric Sciences (UISPP) Asia Tenggara (2017-2021), Sejak tahun 2016, beliau juga merupakan Executive Committee of Suyanggae (Persatuan Pra-Sejarah Korea Selatan), ahli Persatuan Prasejarah Indo Pasifik juga selaku editor bagi Journal of Early Gandhara Civilization, Pakistan (2018- 2021) dan Editor Saintifik Lithic Studies, United Kingdom (sejak 2019).

Beliau telah memenangi anugerah dunia “Suyanggae Academic Award 2019” Korea Selatan. Mokhtar juga merupakan Geologis Profesional (P.Geo) Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Tenaga. Dalam bidang geologi, khasnya geopark beliau adalah Ahli Jawatankuasa Warisan Geologi Kebangsaan, UKM (sejak 2009), ahli Jawatankuasa Pakar Geologi, Jabatan Warisan Negara (2009- 2021), ahli Jawatankuasa Pelaksanaan Geopark Kebangsaan (sejak 2010), ahli Jawatankuasa Geopark Kebangsaan (sejak 2016).

Pada tahun 2016, beliau merupakan pengerusi jawatankuasa saintifik dan pemuliharaan yang mengetuai penulisan dossier Jerai Geopark, yang diisytiharkan sebagai Geopark Kebangsaan pada tahun 2017 dan tugas yang sama turut dilaksanakan di Lenggong (sejak 2020) yang akhirnya diisytiharkan sebagai Geopark Kebangsaan pada tahun 2021. Semasa menjadi Pengerusi Pelaksanaan Geopark Kebangsaan Jawatankuasa (2021-2023) beliau telah membantu negara mengangkat Labuan, Sarawak Delta, Gombak-Hulu Langat dan Stong sebagai Geopark Kebangsaan. Pada ketika ini, beliau sedang menyandang tugas sebagi Pengarah Saintifik Geopark & Geotourism Creative Solution Sdn Bhd (GGCS).

.