Lawatan Rasmi Lembaga Muzium Negeri Pulau Pinang

0
Posted on: Jum, 2012-05-25 11:37   By: ku_ayu
Penerangan Oleh Puan Intan, Kurator Pengiring
Berlegar di Ruang Pameran
Bergambar Bersama Karya Amron Omar
Gambar Kenangan
Lakaran Tisu
Keratan Akhbar Amron Omar
Tiba di Istana Negara Lama
Bergambar di Hadapan Pintu Gerbang Istana
Mencatit Nama ke dalam Buku Lawatan
Warga Kerja Meneliti Kad Pengenalan Lama YDPA
Puan Kurator Melihat Pameran
Koleksi Jam Tangan Baginda
Koleksi Kamera Baginda
Koleksi Cenderahati Baginda

Jumaat, 18 Mei 2012

Bermula dengan perjalanan dari Muzium Negeri Pulau Pinang pada jam 7.00 pagi, seramai 21 orang warga muzium telah bertolak ke Kuala Lumpur untuk menuju ke destinasi yang dirancang. Perjalanan yang memakan masa lebih kurang lima jam selamat tiba di destinasi yang pertama, iaitu Balai Seni Visual Negara (BSVN).

Pengarah kami, Puan Haryany Mohamad beserta enam warga kerja yang lain menanti kehadiran kami di BSVN. Kami diiringi oleh Puan Intan Rafiza Abu Bakar selaku Kurator pengiring. Kami telah dibawa melihat pameran solo Amron Omar yang bertajuk “Pertarungan”. Karya-karya Amron dipamerkan di Galeri 3A dan 3B. Pameran ini telah berlangsung pada 15 Februari dan akan berakhir pada 27 Ogos 2012. “Pertarungan Amron Omar” memaparkan lebih 150 buah karya terpilih dari siri pertarungan yang disusun atur mengikut kronologi masa.

Amron Omar merupakan seorang anak seni kelahiran Kedah telah berkecimpung dalam dunia seni visual lebih daripada 30 tahun. Beliau banyak menghasilkan karya seni catan, lukisan dan sketsa yang mempunyai kualiti visual yang sangat tinggi. Kebanyakan hasil karya beliau menggunakan cat minyak atas kanvas, karya-karya atas kertas dan papan, serta 608 keping karya lakaran dibuat di atas tisu, kata Kurator pengiring.

Menurut Puan Intan lagi, pameran ini menghimpunkan karya-karya beliau yang dipinjam daripada pengumpul-pengumpul karya, seperti orang perseorangan, insitusi pendidikan, badan-badan perusahaan dan sebagainya. Antara karya yang turut dipamerkan ialah karya terawal beliau tahun 1970 yang bertajuk "Silat". Medium karya ini dihasilkan daripada cat minyak atas kanvas.

                                                                                 

Lakaran dan karya-karya Amron Omar pasti memukau hati bagi sesiapa saja yang melihatnya. Karya-karya beliau kebanyakannya berasaskan tradisi melayu, khususnya dari dunia seni mempertahankan diri yang berupaya menggambarkan sifat budaya arus tradisional masyarakat Melayu. Ketelitian seni beliau juga menampakkan pergerakan badan yang dilukis dengan nilai seni yang tinggi.

Di samping itu, kami juga dihidangkan dengan jamuan makan tengahari yang disediakan khas oleh pihak Balai Seni Visual Negara. Seiringan dengan itu, Puan Haryany menyampaikan cenderahati kepada Puan Intan sebagai tanda penghargaan menerima rombongan dan menemani kami sepanjang lawatan tersebut.

Seterusnya, pada jam 3.00 petang perjalanan diteruskan ke Istana Negara Lama. Pameran “Raja Kita” yang dianjurkan oleh Jabatan Muzium Malaysia kali ini diadakan selama 2 bulan, iaitu pada 16 April hingga 15 Jun 2012. Pameran diadakan sempena pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-14, DYMM Tuanku Al-Mutassimu Billahi Muhibbudin Sultan Abdul Halim Al-Muadzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah yang mengantikan DYMM Al-Wathiqu Billah Tuanku Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah.

Peristiwa pelantikan Yang di-Pertuan Agung yang ke-14 ini telah mencatat sejarah pentadbiran di raja di mana Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah dilantik buat kali kedua setelah dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong (YDPA) kali pertama pada 21 September 1970 untuk tempoh lima tahun yang berakhir pada 20 September 1975.

Semasa lawatan kami, ramai pengunjung yang datang berpusu-pusu menyaksikan pameran ini. Apabila melangkah masuk ke ruang Balai Rung Seri, kami berasa amat terpegun seolah-olah berada dalam majlis rasmi raja-raja, seperti pertabalan dan penganugerahan pingat oleh Yang di-Pertuan Agong, DYMM Tuanku Al-Mutassimu Billahi Muhibbudin Sultan Abdul Halim Al-Muadzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah. Warna kuning diraja yang memecah suasana pameran telah memberikan suasana keunggulan dan kedaulatan institusi Raja-Raja Melayu.

“Pameran Raja Kita” ini juga telah mengembalikan nostalgia kerana baginda pernah bersemayam di Istana Negara Lama pada tahun 21 September 1970 hingga 20 September 1975. Antara segmen menarik yang dipamerkan ialah sejarah Kesultanan Melayu Melaka sehingga ke pemerintahan Agong ke-14 sekarang. Artifak-artifak yang dipamerkan pakaian lengkap Yang di-Pertuan Agong, DYMM Tuanku Al-Mutassimu Billahi Muhibbudin Sultan Abdul Halim Al-Muadzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah dan Raja Permaisuri Agung, peralatan diraja dan beberapa kelengkapan peribadi, seperti koleksi jam tangan dan kamera-kamera yang digunakan oleh baginda sebagai memenuhi hobi di waktu lapang.

                                                                                                           

                                                                                         KAD PENGENALAN LAMA YANG MAHA MULIA
                                                                                    SULTANAH HAJJAH HAMINAH BINTI HAJI HAMIDUN

Seramai 28 orang warga kerja muzium telah meluangkan lebih kurang dua jam di Istana Negara Lama dan kami telah bertolak pulau ke Pulau Pinang pada jam 5.00 petang. Lawatan kedua-dua tempat ini memberikan kenangan yang tidak dapat dilupakan. Walaupun lawatan ini hanya beberapa jam sahaja, namun banyak ilmu secara tidak langsung dapat dibawa pulang. Pengggayaan dan teknik pameran yang diatur membuka mata kami untuk membentuk dan menjadikan setiap pameran akan datang menjadi lebih terpesona.

Bagi pihak pengurusan, kami mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan ucapan terima kasih kepada Ketua Pengarah Balai Seni Visual Negara , Ambassador Dato' Mohd Yusof Ahmad dan seluruh warga kerja BLVN yang telah menyambut dan menerima lawatan kami.

Tidak lupa juga ucapan setinggi-tinggi terima kasih dipanjangkan kepada Ketua Pengarah, Jabatan Muzium Malaysia, Dato Ibrahim Ismail dan semua yang terlibat telah menerima kehadiran kami di "Pameran Raja Kita".

Akhir kalam, terimalah pantun kami ini.

  Angin kencang turunlah badaI
Seumur hidup cuma sekali
 Tunduk kepala jatuh ke lantai
Jari sepuluh menjunjung duli

  Tuan puteri pergi ke Rasah
Pulang semula sebelah pagi
  Kita bertemu akhirnya berpisah
Diizin Tuhan bersua lagi......

Melayu
Publish To: 
Show author information?: 
yes