BUKIT BENDERA

0
Posted on: Isn, 2020-08-10 16:34   By: MZMKPLBPKHG
Body: 

TAHUKAH ANDA?

Bukit Bendera ini dahulu dikenali sebagai Penang Hill dan sebelum itu sebagai Green Hill. Bukit ini menjadi tempat peranginan atau beristirahat yang digemari di kalangan masyarakat Eropah di Pulau Pinang. Sejak dari tahun 1790 lagi sebatang jalan kecil yang berliku-liku telah dibuat untuk sampai ke puncaknya supaya mereka yang ingin menikmati kesegaran udara dingin di tanah tinggi dapat sampai ke situ. Menjelang kurun kesembilan belas, hanya inilah satu-satunya bukit peranginan yang telah dimajukan di timur.

Pada masa dahulu, perjalanan untuk menaiki bukit ini agak sukar. Bagi yang tidak suka berenyah sangat, mereka akan diusung menaiki petangki iaitu kerusi rotak yang diikat pada batang buluh. Ada juga yang mendaki menaiki kuda kecil Delhi atau kuda Sumatera dan ada pula yang sanggup membetis ke puncaknya melalui jalan kecil yang disenggara dengan elok itu.

Pada tahun 1924, perjalanan menuju ke puncak Bukit Bendera menjadi lebih mudah. Ini ialah kerana pada tahun itu Perkhidmatan Kereta Api Bukit telah dirasmikan pembukaannya oleh Gabenor Pulau Pinang, Sir Lawrence Nums Guillemard. Menurut beliau keretapi bukit tersebut adalah “salah sebuah kereta api bukit yang terbaik di dunia”. Sejak 1 Februari 1971, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah mengambil alih urusan perkhidmatan kereta api bukit itu.

Puncak bukit tersebut dinamai Flagstaff Hill dahulu kerana di situ bendera Inggeris Union Jack dinaikkan untuk menandakan ketibaan surat dan barang pos. Itulah sebabnya bukit ini disebut Bukit Bendera dalam Bahasa Melayu dan Seng Kee Sua (Bukit Bendera Naik) dalam dialek Hokkien.

Pernahkah anda mengunjungi Bukit Bendera? Kongsikan gambar percutian anda di Bukit Bendera dengan kami pada ruangan komen dibawah.

#MuziumNegeriPulauPinang
#PendidikanMuziumUntukSemua
#PETACH
#Penang2030
#PenangLawanCOVID19
#UntukNegeriKita
#psmfirstclass